Pada hari Khamis, 12 Februari 2026 yang lalu, Sekolah Sri Al-Amin Bangi telah menerima delegasi lawatan kerja daripada Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Agama, Negara Brunei Darussalam. Turut mengiringi delegasi ini ialah Ustaz Megat Mohamed Amin bin Megat Mohamed Nor, Setiausaha Lembaga Pemegang Amanah, Musleh Integrated Education Berhad (MIEB).
Tujuan lawatan ini adalah untuk menjalankan kajian lapangan serta meninjau amalan terbaik (best practices) di peringkat sekolah. Delegasi yang terdiri daripada tujuh orang pegawai dari Jabatan Pengajian Islam ini hadir bagi meninjau secara langsung model pengurusan dan kepimpinan sekolah di bawah rangkaian IKRAM Musleh selepas menerima taklimat khas di MIEB sebelum itu. Selain itu, mereka turut mengkaji pelaksanaan kurikulum, kokurikulum serta pendekatan pembinaan sahsiah murid di peringkat sekolah.
Di samping itu, para pegawai juga berhasrat mengenal pasti elemen inovasi dalam pendidikan Islam yang berpotensi untuk dijadikan rujukan dalam usaha memperkukuh sistem persekolahan agama di Negara Brunei Darussalam.
Lawatan ini dimulakan dengan sesi tinjauan ke beberapa kelas serta pemerhatian terhadap aktiviti murid yang sedang berlangsung di sekolah rendah dan sekolah menengah. Seterusnya, semua ahli delegasi berkumpul di Bilik Seminar Abasiyah untuk sesi perkongsian bersama pihak pengurusan sekolah serta sesi soal jawab.
Slot ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, Puan Bayani Muhamad, diikuti dengan ucapan daripada Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), Puan Norain Hayun yang mewakili Pengerusi LPS, Dr Jailani Salihon. Seterusnya perkongsian dari Muallimah Noor Asyikin Ahmat, Pengetua Sekolah Menengah diikuti oleh wakil dari Sekolah Rendah, Muallimah Nor Atikah Ismail, Penolong Kanan Kurikulum dan Muallim Lokman bin Saleh, Penolong Kanan hal Ehwal Murid.
Berikut ialah senarai pegawai yang hadir:
- Hajjah Mariana binti Haji Jamil – Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Jabatan Pengajian Islam (JPI)
- Mohamad Aminuddin bin Pg. Hj. Hussin – Pemangku Penolong Pengarah Profesional, JPI
- Md. Ahsanul Azmi bin Haji Sarbini – Ketua Bahagian Sekolah Ugama, JPI
- Ernalisa @ Hanisah ‘Aqilah binti Haji Shaheed – Ketua Bahagian Sekolah Umum Pendidikan Islam, JPI
- Hajah Siti Razana binti OKSW Haji Abdullah – Ketua Unit Sekolah Ugama, Bahagian Kurikulum, JPI
- Md. Suffri Sofian bin Haji Md. Umar – Ketua Unit Sekolah Ugama, Bahagian Pendidikan Khas Ugama
- Azmerul bin Hj. Haris – Guru Besar Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Lawatan ini diharapkan dapat mengukuhkan hubungan kerjasama dalam bidang pendidikan Islam serta membuka ruang perkongsian amalan terbaik antara kedua-dua pihak. Sekolah Sri Al-Amin Bangi merakamkan penghargaan atas kesudian delegasi Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei Darussalam mengadakan lawatan ini, dan berharap jalinan ini akan terus memperkasa usaha memartabatkan pendidikan Islam



