:
PENGENALAN
Share:


SEJARAH PENUBUHAN 

Sejarah Sekolah Sri Al-Amin Bangi bermula pada tahun 1989 apabila Sekolah Rendah Al-Amin Serdang ditubuhkan di Masjid Lama Serdang dan didaftarkan dengan JAIS sebagai Sekolah Rendah Al-Amin Serdang dengan No. Pendaftaran 033/8. Pada tahun yang sama, sekolah ini turut didaftarkan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada tahun 1997, sekolah berpindah ke bangunan tetap di Kampung Sungai Tangkas, Mukim Kajang, Daerah Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan dan seterusnya dikenali sebagai Sekolah Rendah Sri Al-Amin Bangi.

Pada tahun yang sama, Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi ditubuhkan sebagai kesinambungan pendidikan kepada para murid Sekolah Rendah Sri Al-Amin Bangi. Penubuhan kedua-dua institusi ini menjadi asas kepada perkembangan Sekolah Sri Al-Amin Bangi sebagai sebuah institusi pendidikan Islam integrasi yang terus berkembang hingga kini.

PENDAFTARAN DAN TADBIR URUS

Pendaftaran sekolah dengan Kementerian Pendidikan Malaysia telah diluluskan pada Januari 2006 dengan No. Pendaftaran B1C 4065 bagi Sekolah Rendah Sri Al-Amin Bangi dan B2C 4066 bagi Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi.

Selaras dengan perkembangan dan keperluan semasa, pendaftaran sekolah telah dikemas kini oleh KPM pada 23 Mei 2023 dengan:

  • Sekolah Rendah Sri Al-Amin Bangi: No. Perakuan Pendaftaran BJAD004
  • Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi: No. Perakuan Pendaftaran BLAD001

 

Pendaftaran dengan JAIS juga telah dikemas kini pada 20 Mei 2025, iaitu:

  • Sekolah Rendah Sri Al-Amin Bangi: No. Perakuan Pendaftaran 11S(3)7/12 (BJJ4003)
  • Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi: No. Perakuan Pendaftaran 12S(3)/3/7 (BLL4003)

 

Operasi Sekolah Sri Al-Amin Bangi diselia oleh Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) Sri Al-Amin Bangi, manakala keseluruhan kakitangan yang terlibat dalam operasi sekolah dilantik di bawah Sri Al-Amin Bangi Sdn. Bhd. [199401016026 (301706-P)].

KURIKULUM DAN PENDEKATAN PENDIDIKAN

Sekolah Sri Al-Amin Bangi melaksanakan pendekatan pendidikan Islam integrasi yang menggabungkan pendidikan akademik, pendidikan Islam dan pembentukan sahsiah secara holistik. Pendekatan ini dilaksanakan berasaskan tiga komponen utama, iaitu Kurikulum KPM, Kurikulum JAIS serta penerapan elemen kemenjadian murid berteraskan modul Musleh Integrated Education Berhad (MIEB).

Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

Di peringkat akademik, Sekolah Sri Al-Amin Bangi melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi Sekolah Rendah dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi Sekolah Menengah, selaras dengan kurikulum yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pelaksanaan KSSR dan KSSM menjadi asas kepada pembangunan pengetahuan, kemahiran dan potensi murid dalam bidang akademik, di samping menyediakan mereka untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.

Kurikulum Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Sebagai sebuah sekolah yang berteraskan pendidikan Islam integrasi, sekolah turut melaksanakan kurikulum yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Kurikulum ini melengkapkan pendidikan akademik dengan penguasaan ilmu dan penghayatan agama, termasuk aspek al-Quran, akidah, ibadah, akhlak, sirah dan Bahasa Arab, mengikut keperluan serta ketetapan yang berkuat kuasa.

Penerapan Elemen Kemenjadian Murid Berteraskan Modul MIEB

Selain pelaksanaan kurikulum KPM dan JAIS, Sekolah Sri Al-Amin Bangi turut menerapkan elemen kemenjadian murid yang berteraskan modul dan pendekatan pendidikan Musleh Integrated Education Berhad (MIEB).

Elemen-elemen ini diterapkan dalam pengalaman pendidikan murid melalui pelbagai program, aktiviti pembelajaran, kokurikulum, tarbiah, pembentukan sahsiah dan kepimpinan. Pendekatan ini memberi penekanan kepada pembangunan murid secara menyeluruh agar mereka bukan sahaja mencapai kecemerlangan akademik, malah memiliki akidah yang kukuh, akhlak yang baik, kemahiran kepimpinan, jati diri, kecergasan, kemahiran insaniah serta keupayaan memberikan sumbangan positif kepada masyarakat.

Pendekatan Pendidikan Integrasi

Gabungan Kurikulum KPM, Kurikulum JAIS dan penerapan elemen kemenjadian murid berteraskan modul MIEB membentuk ekosistem pendidikan yang menyeluruh di Sekolah Sri Al-Amin Bangi.

Pendekatan ini mencerminkan komitmen sekolah untuk membangunkan murid secara seimbang dari aspek ilmu, iman, amal, akhlak dan kepimpinan, selaras dengan aspirasi sekolah untuk melahirkan Insan Rabbani yang berilmu, berakhlak, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar utama, manakala Bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran Sains dan Matematik melalui pelaksanaan Dual Language Programme (DLP).

Di samping itu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab diajarkan secara sistematik di peringkat rendah dan menengah serta diperkasakan sebagai bahasa pertuturan di luar bilik darjah melalui pendekatan Highly Immersive Programme (HIP). Usaha ini bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi meningkatkan penguasaan bahasa serta keyakinan murid untuk berkomunikasi.

Program Tahfiz al-Qur'an turut ditawarkan di peringkat sekolah menengah bermula tingkatan 1 hingga tingkatan 3.

Program Dwi Bahasa (Dual Language Program - DLP) telah ditawarkan di peringkat sekolah rendah sejak tahun 2020. Jika tidak menjadi halangan, sekolah menengah akan turur menawarkan program ini pada tahun 2027 setelah mendapat kelulusan daripada KPM pada Julai 2026.

SEKOLAH BERASASKAN KOMUNITI

Sekolah Sri Al-Amin Bangi berhasrat untuk terus berkembang sebagai sebuah sekolah berasaskan komuniti yang terbuka kepada kerjasama dan perkongsian dengan masyarakat setempat.

Melalui jaringan strategik bersama pelbagai entiti komuniti, sekolah terlibat dalam pelaksanaan projek pendidikan, kemasyarakatan dan dakwah Islam yang memberikan manfaat bersama. Antara rakan komuniti yang telah banyak bekerjasama dengan sekolah termasuk Pertubuhan Ikram Daerah Kajang, Persatuan Penduduk Taman Tropika dan Surau Al-Hidayah Kampong Sungai Tangkas.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen Sekolah Sri Al-Amin Bangi untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem masyarakat dalam membina generasi yang berilmu, berakhlak, berjiwa Rabbani serta mampu memberikan sumbangan positif kepada keluarga, masyarakat dan negara.

ASPIRASI KAMI

Sekolah Sri Al-Amin Bangi akan terus berusaha menyediakan pendidikan yang berkualiti, relevan dan seimbang dengan mengintegrasikan ilmu, iman, amal dan akhlak dalam kehidupan murid.

Kami percaya bahawa pendidikan bukan sekadar membentuk murid yang cemerlang dalam akademik, tetapi membina Insan Rabbani yang mempunyai jati diri, akhlak mulia, kemahiran memimpin serta kesediaan untuk menghadapi cabaran masa hadapan.