:
PENGENALAN


Sekolah Sri Al-Amin Bangi (SRIAAB) merupakan sebuah sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ia terdiri dari Sekolah Rendah Sri Al-Amin Bangi dan Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi. SRIAAB telah ditubuhkan di Masjid Lama Serdang dan didaftar buat pertama kalinya dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) – No Pendaftaran 033/8 pada tahun 1989. Ia turut didaftarkan dengan KPM pada tahun yang sama.

Berkesinambungan dari Sekolah Rendah Sri Al-Amin Bangi, Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi telah ditubuhkan pada tahun 1994. Pada tahun 1997, SRIAAB telah berpindah ke lokasi tetapnya di Kampung Sungai Tangkas, Mukim Kajang, Daerah Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan.

Pendaftaran sekolah telah diterima secara rasminya dari Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia pada Januari 2006 dengan No Pendaftaran B1C 4065 bagi Sekolah Rendah Sri Al-Amin Bangi dan B2C 4066 bagi Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi.

Lembaga Pengelola Sri Al-Amin Bangi (LPSRIAAB) adalah institusi yang bertanggungjawab mengendalikan pengurusan dan operasi Sekolah Rendah dan Menengah Sri Al-Amin Bangi melalui daftar syarikat Sri Al-Amin Bangi Sdn. Bhd. (301705-P).

SRIAAB merupakan salah sebuah sekolah di bawah rangkaian IKRAM Musleh iaitu sebuah organisasi yang menggabungkan semua sekolah-sekolah IKRAM di Malaysia dan bernaung di bawah Pertubuhan IKRAM kawasan Bandar Baru Bangi dan kawasan Kajang.

Sekolah ini mengamalkan sistem pendidikan berintegrasi. Bahasa penghantar yang digunakan adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

Rentetan daripada sambutan mengagalakkan yang diterima daripada masyarakat terhadap SRIAAB membuatkan pihak pengurusan membuka sekolah baru di kawasan lain.

Pada tahun 2013, Sekolah Sri Al-Amin Nilai telah ditubuhkan di Bandar Baru Nilai, Nilai. Kemudian pada tahun 2016 Sekolah Sri Al-Amin Putra Mahkota telah ditubuhkan di Bangi Avenue, Bangi Lama.

Kini SRIAAB mengorak langkah dengan penubuhan sekolah ketiga iaitu Sekolah Sri Al-Amin Cyberjaya (SRIAAC) di Cyberjaya dan telah mula beroperasi pada Januari 2020.

 
Pada tahun 2020, SRIAAC bermula dengan jumlah kemasukan murid seramai 51 murid sahaja iaitu 21 murid tahun 2 dan 30 murid tahun 1 manakala seramai 5 orang guru termasuk Guru Besar SRIAAC yang pertama iaitu Muallim Husni Zaim. Pada tahun 2023 jumlah murid sudah meningkat sebanyak 295 murid merangkumi murid tahun 1 sehingga tahun 5 dan seramai 21 orang guru.